MALAYSIA (April 01 2022): Sejak penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada 1 September 2011, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi pelaksanaan program tenaga boleh baharu (TBB), selain membabitkan usaha menggalakkan inisiatif cekap tenaga.
Sebagai agensi yang bertanggungjawab bagi menggalak, merangsang, dan membangunkan tenaga lestari, SEDA Malaysia telah berjaya memenuhi aspirasi nasional dengan memperluaskan penggunaan tenaga lestari sekali gus memperlihatkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
Segala hasil kerja dan perancangan SEDA Malaysia bukan sahaja menunjukkan sumbangan besar kepada alam sekitar, bahkan ia memberi nilai tambah kepada kemajuan industri tenaga lestari.
Pada 30 Disember 2021, KeTSA melalui SEDA Malaysia telah melancarkan Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER) 2035 bagi mewujudkan sektor tenaga yang rendah karbon. MyRER 2035 mengunjurkan kapasiti campuran TBB dalam bekalan elektrik negara adalah sebanyak 31% pada 2025, dan 40% pada 2035.
Pengunjuran kapasiti TBB ini dapat menyumbang kepada pengurangan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45% pada 2030 seperti yang ditetapkan dalam Nationally Determined Contributions (NDC).
Dengan pendekatan ini, sumbangan SEDA Malaysia dijangka mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara melalui penjanaan nilai pelaburan sebanyak RM19.93 bilion pada tahun 2025 serta dapat menyediakan sejumlah 28,416 peluang pekerjaan dalam bidang TBB pada tahun 2025.
SEDA Malaysia berperanan penting apabila menjadi agensi pelaksana bagi pelbagai program yang diperkenalkan oleh kerajaan, antaranya adalah Mekanisme Tarif Galakan (FiT) yang bertujuan memangkin pembangunan industri TBB di Malaysia sekali gus membolehkan manfaat pelaburan jangka panjang. Setakat Disember 2021, kapasiti keseluruhan projek yang sedang beroperasi adalah sebanyak 596.71 Megawatt (MW).